Tuesday, April 13, 2010

Sejarah Pendidikan Disleksia

Sejarah Pendidikan Disleksia

Penubuhan program disleksia telah dirancang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak pengambilan kumpulan pertama guru-guru untuk menjalani kursus disleksia selama empat belas minggu . Akhirnya, program ini telah dapat direalisasikan pada 13 Mac 2004 dengan memilih Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) sebagai sekolah pra-rintis program disleksia.

Program ini dimulakan dengan hanya tujuh orang murid dan dua orang guru. Subjek yang diajar pada masa itu adalah Bahasa Malaysia. Kini, program disleksia di sekolah mempunyai tiga puluh tiga orang murid dan empat orang guru yang mengajar subjek-subjek utama seperti Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik. Murid-murid disleksia dikehendaki mengikuti pembelajaran subjek-subjek lain di kelas arus perdana.
Pelancaran rasmi program disleksia di Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) pada 16 Jun 2004, oleh Yang Bahagia Puan Hajah Siti Zaharah binti Mat Akib iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.


i) Tokoh-tokoh

Rosana (1998) menyatakan bahawa kanak-kanak disleksia dapat dikesan melalui ciri-ciri iaitu kosa kata tulisan yang tidak seimbang, lambat dalam bertutur, lemah dalam menyusun ayat, pelupa, kurang kemahiran mengeja, seolah-olah faham ketika proses P&P dalam kelas tetapi mendapat keputusan merosot dalam ujian, tidak tepat dalam bacaan dan tidak terancang. Namun begitu, disleksia bukanlah suatu kecacatan kerana tidak mempunyai kaitan dengan tahap kecerdikan atau IQ seseorang

Sofiah (2000) menyatakan bahawa disleksia dapat disembuhkan dengan bantuan rawatan (BOLD 2000). Hasil daripada kajian pakar perubatan dengan mendapati kanak-kanak disleksia dari segi fizikal adalah aktif (Zabidi 2000).

Coralie (2000) menyatakan bahawa lazimnya kanak-kanak disleksia diberi peluang pendidikan seperti kanak-kanak biasa. Proses mengenalpasti dan merancang keperluan pembelajaran kanak-kanak disleksia ini adalah sangat penting. Rosana (1998) menyatakan bahawa secara keseluruhannya pelajar disleksia adalah lemah dalam pembelajaran. Mereka bersikap pelupa dan tidak tepat serta lambat dalam bertutur. Irwin (2000) turut bersetuju bahawa individu yang menghadapi masalah disleksia tersebut memerlukan satu program khusus untuk belajar membaca, menulis dan mengeja. Hal ini kerana rogram pengajaran biasa tidak selalunya efektif untuk pelajar-pelajar disleksia. Malah, beliau juga menyatakan bahawa alternatif pengajaran adalah perlu sekali dititikberatkan oleh guru. Contohnya menjalankan aktiviti dengan melibatkan penggunaan pelbagai deria pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran seperti task-on.

Antara selebriti dan tokoh terkemuka dunia yang dikatakan mempunyai masalah disleksia seperti yang dilaporkan dalam Time Magazine bertarikh 8 September 2003 ialah Thomas Edison, Tom Cruise, Whoopi Goldberg dan bekas Perdana Menteri Singapura iaitu Lee Kuan Yew.


ii) Institusi

Kelas Inklusif Disleksia di SK Taman Tun Dr. Ismail adalah melaksanakan pengajaran Bahasa Malaysia kepada murid-murid yang hanya menghadapi masalah dalam subjek Bhasa Malaysia. Justeru, mereka akan mengikuti pembelajaran subjek- subjek lain di kelas arus perdana. Manakala Kelas Khas Disleksia pula adalah dibuka untuk murid-murid yang lemah dalam subjek Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik.
Jadual waktu bagi Kelas Inklusif dan Kelas Khas Disleksia tersebut diambil daripada kelas arus perdana. Jadual waktu bagi ketiga-tiga jenis kelas tersebut tidak mempunyai perbezaan yang ketara kecuali teknik pengajaran dan bahan-bahan yang guru aplikasikan semasa proses P&P.

No comments:

Post a Comment